Khamis, 24 November 2011

Salasilah Generasi 1 & 2


Sebagai pemula catatan keturunan, saya sisipkan salasilah keturunan Ismail bagi generasi 1 & 2. Keluarga ini terdiri daripada 2 orang induk (generasi 1) dan 16 orang anak (generasi 2). 10 orang anak dapat dikenali manakala 6 orang lagi tidak dapat dikenali dek kerana meninggal dunia ketika masih kecil.

Ismail bin Hamid (ataupun sepatutnya Ismail bin Muet) berasal daripada Melaka. Hamid merupakan bapa tiri kepadanya manakala Muet adalah bapa sebenar beliau. Bagaimana peristiwa 'bin' ini berlaku, saya masih mencari ceritanya. Banyak kajian perlu dilakukan.

Fatimah binti Saleh juga berasal daripada Melaka. Dengar kata, mereka ini kahwin sepupu. Fatimah mewarisi darah bugis di sebelah bapanya. Sehingga kini, ramai cucu cicitnya mewarisi 'lesung pipit' yang sentiasa menghiasi senyuman di pipi beliau.

Huraian lengkap mengenai setiap seorang akan dicatatkan di dalam catatan yang akan datang. Insyaallah, akan disisipkan tidak berapa lama lagi. Sementara itu, saya perlu melakukan sedikit kajian beserta pengesahan maklumat agar tidak berlaku ketirisan. Sekian.

Sabtu, 19 November 2011

Blog Ismail Heir: Di sini mulanya...



Salam. Selamat datang ke blog terbaru daripada saya. Sudah lama saya terfikir untuk adakan blog ini namun akibat kekangan masa, saya tangguhkan dahulu. Namun atas kesedaran bahawa betapa pentingnya simpanan sejarah berkenaan keturunan Ismail dicatatkan, saya realisasikan blog ini sebagai portal untuk penyimpanan maklumat, catatan sejarah, rujukan dan pelbagai lagi perkara yang mungkin boleh disumbangkan & diambil pada masa2 yang akan datang.

Daripada dahulu hingga kini, kebiasaannya kita hanya mengingati 3 keturunan sahaja iaitu generasi pertama (Datuk & nenek), generasi kedua (Mak, ayah, makcik & pakcik) serta generasi ketiga (adik beradik, sepupu). Sukar untuk kita mengkaji keturunan datuk nenek kita dek kerana kekurangan maklumat dan juga catatan sejarah yang boleh dirujuk. Dengan menggunakan teknologi IT masa kini, perkara ini boleh diatasi dengan mencatat segala maklumat penting yang mungkin bakal menjadi rujukan generasi akan datang.

Harapan saya agar blog ini dapat diteruskan daripada generasi ke generasi. Semoga ianya sentiasa relevan, lestari & bijak...