
Ismail bin Hamid ataupun yang sebenarnya Ismail bin Muet dilahirkan dalam tahun 1928. Mengikut kata Pak Long saat, beliau (Ismail) dilahirkan di Kg Bukit Pulau, Melaka. Namun begitu, Pak Long tidak berapa pasti berkenaan perkara ini dek kerana tidak tercatat di mana2 dokumen yang ada padanya. Mungkin ada tercatat di dalam surat beranak beliau namun tidak siapa yang tahu di mana surat beranak itu berada.
Percanggahan 'bin' ini sebenarnya bermula ketika Hamid berkahwin dengan Hawa (ibu kepada Ismail) setelah bercerai dengan Muet. Ismail yang merupakan anak kandung kepada Muet dan Hawa telah didaftarkan surat beranaknya ber 'bin' kan Hamid atas kehendak Hamid sendiri. Saya menganggapkan ketika ini wujud perselisihan faham yang menyebabkan perkara ini berlaku. Namun, sejauh mana kebenarannya tidak ada sesiapa yang tahu. Cuma, semua orang perlu tahu dan faham bahawa Ismail adalah anak kandung Muet, bukannya Hamid.
Ismail mempunyai 2 orang abang kandung (seibu sebapa), 2 orang adik perempuan & 1 orang adik lelaki kandung (sebapa tetapi lain ibu) dan 2 orang adik tiri lelaki (seibu tetapi lain bapa). Adik beradik kandung seibu sebapa beliau ialah Hj Mohd Ali bin Muet dan Hj Ahmad bin Muet. Adik beradik kandung sebapa tetapi berlainan ibu ialah Ghaur bin Muet dan Senah binti Muet (Seorang lagi tidak dapat dikesan). Manakala adik beradik tiri beliau ialah Hj Yusof bin Hamid dan Hj Abu Samah bin Hamid. Pening bukan? Bacalah perlahan-lahan dan fahamkan. Bak kata Pak Long Saad, "Adik beradik atuk kau ni caca merba". Tepuk dada, tanya selera.
Mengikut kata Pak Long lagi, Ismail berasal daripada
keturunan Temenggong dari sebelah Hawa (ibu) manakala dari Muet (bapa) pula berketurunan
Bugis. Sejarah telah mencatatkan bahawa Dato' Pepatih Nan Sebatang dan Datuk Temenggong merupakan 2 bersaudara yang datang dari Sumatera. Mereka merupakan hulubalang ataupun pahlawan istana di Sumatera. Kemudian, apabila tiba di Tanah Melayu mereka bersetuju untuk membahagi kawasan masing2. Dato' Pepatih di Negeri Sembilan manakala Datuk Temenggong di Melaka. Sila rujuk
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Negeri_Sembilan untuk maklumat lanjut.
Semasa muda, Ismail bekerja sebagai pekerja mengisi minyak kapal terbang di Lapangan Terbang Sungai Besi. Beliau bekerja di bawah syarikat Shell Bhd. Beliau yang pernah tinggal di Bukit B, Sg Besi bersama-sama isteri (Fatimah) dan anak2nya, hanya berbasikal ke tempat kerja walaupun setelah berpindah di Selayang Baru. Namun, beliau sempat memiliki sebuah motosikal berjenama Lambretta.
Waktu lapang beliau sentiasa dipenuhi dengan aktiviti2 yang mendatangkan rezeki. Kata Pn Esah, beliau pernah menganyam bakul bersama-sama isterinya, Fatimah untuk dijual. Selain daripada itu, beliau juga rajin menangkap ikan di sungai berhampiran. Di persekitaran rumah pula, beliau rajin bercucuk tanam seperti sayur2an dan buah2an. Sekiranya ada kesempatan, beliau juga mencari kayu api untuk digunakan semasa memasak. Pak Long Saad menyatakan bahawa beliau rajin mengait jala sama ada untuk dijual ataupun digunakan sendiri.
Ismail tidak suka memakan ikan yang banyak tulang. Namun ini sangat kontra dengan isterinya. Makanan kegemaran beliau ialah asam pedas dan ikan pari masak lada. Semasa muda, beliau suka minum kopi. Namun, ketika meningkat tua beliau suka minum teh tarik. Pernah sekali beliau buatkan teh tarik untuk saya. "Minumlah teh tarik tu. Atuk buat teh tak suke manis2", kata Ismail pada saya. Saya pun dengan berbesar hati merasa teh tarik buatan Ismail. Sekali hirup, saya senyap seketika. Kepala berdengung sebentar. Dek kerana manis yang teramat sangat. Ya Allah, manisnya! Namun saya diamkan saja. Menghargai 'atuk' yang dengan berbesar hati membuat teh tarik untuk cucunya. Alahai datukku...
Mengikut anak2 Ismail, beliau merupakan seorang yang tegas dalam mendidik anak2nya. Beliau sangat garang namun dalam masa yang sama merupakan seorang yang sangat penyayang. Kata Pn Esah, Ismail akan menunggu dengan rotan yang besar sekiranya dia dan adik2 lambat pulang dari mengaji Al-Quran. Hendak buat macamana? Mungkin itu cara beliau mendidik anak2nya. Alhamdulillah, beliau berjaya mendidik anak2nya dengan baik.
Tarikh 20 Ogos 2005, pukul 4.15 petang, Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau meninggal dunia ketika berumur 77 tahun. Asbab kepada kematian ialah sakit buah pinggang. Atas nasihat doktor, Hospital Selayang terpaksa menghentikan alat pembersih buah pinggang yang digunakan oleh beliau untuk memberikan laluan kepada pesakit lain yang lebih memerlukan. Mungkin pihak hospital berasa yang Ismail sudah tidak mempunyai harapan lagi tatkala fungsi buah pinggangnya bergantung 100% pada alat pembersih buah pinggang.
Pemergian beliau sangat memberi kesan kepada anak2 dan cucu2 beliau. Terasa kehilangan yang teramat sangat. Namun, takdir Ilahi memerlukan keredhaan setiap hati hambaNya. Yang hidup pasti akan merasa mati. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman. Al-Fatihah...